Saya pun sama macam anda, terpaksa hantar kedua-dua anak di rumah pengasuh sebelum bergegas ke kerja.
Saya bukan antara yang bernasib baik. Duduk di rumah, melihat anak membesar, mendengar perkataan pertama yang mereka tatih, langkah pertama mereka jalan, perbuatan pertama mereka lakukan, lagu pertama yang mereka nyanyi, gerak tarian pertama yang menyerikan rumah.
Hanya pengasuh yang dapat menyaksikan semua itu. Saya hanya diberitahu tentangnya.
Namun, saya terpaksa redha. Demi mengisi perut seisi keluarga dan mengejar materialisme yang diajar oleh dunia ini kepada saya. Saya redha…
Namun saya masih boleh bersyukur. Dengan kadar bayaran RM750 untuk kedua-dua anak termasuk upah pengangkutan bawa pulang anak dari tadika, saya diberkati dengan pengasuh yang sangat baik dan memahami.
Mereka menjaga anak saya seperti anak sendiri.
Bila suami cadang pindah rumah kerana sewa terlalu mahal, satu-satunya perkara yang menghalang kami ialah; “Di mana nak hantar anak? Mana dapat pengasuh baik seperti sekarang? Pusat jagaan swasta kenakan RM1,000 untuk seorang anak, ditambah dengan waktu jagaan yang sangat tegas. Setiap setengah jam ada ‘surcharge’ pula”.
Kami redha…
Biarlah, bayar mahal sikit. Apa yang penting anak selamat dan kami boleh bekerja dengan tenang.
Sesetengah ibu bapa mengeluh betapa beratnya hati terpaksa tinggalkan anak di rumah orang. “Bila waktu tidur anak saya mesti merungut dan menangis, tidak mahu ke rumah pengasuh. Dia takut,” kata seorang rakan di pejabat yang masih tidak tahu apa yang berlaku di rumah pengasuh. Walaupun pengasuh itu saudara dekatnya.
Ada yang menggaji bibik. Daripada wang pengurusan RM8,000 kemudian gaji bulanan RM700, hati ini masih tak tenang tinggal anak dengan bibik. Bimbang jika berita yang dibaca dalam akhbar tentang penderaan oleh bibik berlaku di rumah sendiri. Tidak ketinggalan, ada pula bibik muda yang lari rumah, meninggalkan anak-anak kecil keseorangan.
Kita semua sedar kes dera dan sebagainya yang berlaku di rumah pengasuh atau pusat jagaan. Itulah risiko paling besar terpaksa kami tanggung bila hantar anak di rumah orang. Ya, ada kes di mana anak itu meninggal dunia. Kami tidak akan tahu apa yang sedang berlaku sepanjang lapan hingga 10 jam kami di pejabat. Kami hanya berdoa.
Pusat jagaan swasta yang berdaftar dengan kementerian, ikut protokol dan segala bagai prosedur pula mengenakan caj melampau. Saya tak salahkan mereka. Ibu-bapa pun terpaksa (walaupun dalam hati pernah menyumpah-nyumpah) kerana tiada pilihan.
Ada juga rakan saya yang bekerja lebih, buat kek untuk memastikan dia dapat menampung belanja di pusat jagaan swasta. “Satu bulan, by hook or crook, saya kena pastikan jual lima kek majlis kebesaran. So, dapatlah sekitar RM700,” katanya.
Ada ibu bapa yang jadi menjadi pemandu Uber, ada buat kerja freelance pada hujung minggu, kerja sampingan di klinik, 7-Eleven… macam-macamlah. Bukanlah menyahut #duakerja Menteri Datuk Ahmad Maslan kerana mereka sudah lama buat #beberapakerja.
Tetapi inilah realiti pahit kehidupan ibu bapa bekerja kota metropolitan. Antara mencari duit dan mengawal emosi, semuanya demi anak.
0 Response to "SEKSANYA HADAPI RISIKO DAN KOS JAGA ANAK...RINTIHAN SEORANG IBU BEKERJA KERANA KOS SARA HIDUP MAKIN MENINGKAT, NAK HARAP SUAMINYA MEMANG TAK MENCUKUPI"
Post a Comment