Pesawat pejuang Perancis mengebom kubu kuat kumpulan militan IS di Syria

Pesawat pejuang Perancis mengebom kubu kuat kumpulan militan IS di Syria pada Ahad sebagai tindak balas selepas serangan terancang kumpulan itu mengorbankan 129 nyawa di Paris.



Perancis menghantar pesawat pejuangnya yang menggugurkan lebih 20 bom di kubu kuat IS di Raqa, sekali gus mengisyaratkan tekad kerajaannya menentang kumpulan itu.

Kementerian Pertahanan Perancis memaklumkan, serangan itu memusnahkan pusat kawalan IS, pusat pengambilan ahli baru, depot senjata serta kem latihan ‘pengganas’.

Dalam pada itu, polis Perancis turut mendedahkan foto seorang suspek ‘berbahaya’ yang dikehendaki berhubung serangan di Paris itu.


Suspek berusia 26 tahun, Salah Abdeslam yang dikatakan salah seorang daripada tiga beradik yang dikaitkan dengan serangan itu, turut dikehendaki di Belgium yang mengeluarkan waran tahanan antarabangsa terhadapnya.

Dipercayai bahawa sama ada lelaki itu sedang menyembunyikan diri atau merupakan salah seorang daripada penyerang yang maut ketika serangan itu, kata sumber keselamatan.

Suspek itu tinggal di kawasan kejiranan miskin dengan majoritinya imigran di Molenbeek, Brussels yang mana polis sudah membuat beberapa penahanan berkaitan serangan di Paris.

0 Response to "Pesawat pejuang Perancis mengebom kubu kuat kumpulan militan IS di Syria"

Post a Comment